Wednesday, April 22, 2015

Cak Kelepuk

Apakah "Cak Kelepuk"?


Permainan "Cak Kelepuk" adalah satu permainan yang agak terkenal dalam kalangan warga negeri Kelantan.Nama lain bagi permainan ini ialah "Cak Cilup Up Up".Permainan ini juga dikenalkan sebagai "Aci Ka Dewa" di negeri Kedah. Biasanya, permainan ini dikenali dengan nama yang berbeza-beza di setiap negeri.

Walau bagaimanapun,cara permainannya adalah lebih kurang sama, cuma nyanyiannya mungkin berbeza. Permainan ini boleh membantu mengeratkan hubungan silaturahim antara pemain.Pemain-pemain akan turut menyanyi bersama-sama dan bagi sesiapa yang kalah, dengan rela mereka perlu melaksanakan denda yang dikenakan. Permainan ini boleh dijalankan dalam suasana dalaman.

Salah satu kebaikan untuk permainan ini adalah permainan ini boleh dijalankan di dalam rumah dan tidak perlu apa-apa peralatan.
Bilangan pemain adalah antara dua hingga enam orang. Biasanya, permainan ini didominasi oleh kanak-kanak perempuan. Permainan ini boleh dimainkan bersama ahli keluarga atau kanak-kanak lelaki.

Cara-cara permainan:

  1. Seorang pemain akan dijadikan sebagai ketua yang berfungsi sebagai Pembilang(penunjuk jari) semasa nyanyian berlangsung. 
  2. Semua pemain dikehendaki duduk dalam satu barisan atau bulatan selain ketua yang telah dipilih.
  3.  Semua pemain akan meletakkan kedua-dua belah tangannya di hadapan lutut dengan kedua-dua jari tangannya dalam keadaan terbuka.
  4. Apabila semua pemain bersedia, mereka akan sama-sama menyanyi lagu. Ketua akan menunjuk kepada tiap-tiap jari pemain bagi setiap patah seni kata lagu yang dinyanyikan.   
  5. Jari terakhir yang ditunjuk oleh ketua semasa seni kata lagu patah perlu dilipatkan. Nyanyian akan diteruskan sehingga semua jari pemain melipat.
  6. Pemain terakhir yang melipat jari dikira kalah dan perlu menerima denda. Misalnya, membaca pantun, menjentik jari, geletek dan sebagainya. 
  7. Pemain-pemain yang lain akan menentukan cara denda.Permainan ini boleh diteruskan dengan perlantikan ketua yang baru.
  8. Biasanya, pemain yang kalah akan menjadi kedua bagi pusingan permainan yang seterusnya.



Contoh seni kata lagu di Kelantan:

Cak Kelepuk Kelepik Kelepak,
buah belongan lokoh kulit,
akak cerana taktak terbaka,
Lik Luk Gung.
Pak Talib kena sigung.
api apa dalam bukit?
api orang suluh ketam.
bini sapa dalam bilik?
bini Ali tinggal sorang.
(Seni kata lagu diulan-ulang.)

Contoh seni kata lagu di Perak:

Cak Cilup Up Up,
Cak Cilup kucing lompat,
Nestum Nestin,
Pak Ali tukang cat.
(Seni kata lagu diulan-ulang.)

Contoh seni kata lagu di Kedah:

Aci ka dewa,
Dewa duku,
Dewa daka,
Daka pole,
Chi Chi Wa,
Wa la na,
Aci kedup.


Peraturan permainan:

  1. Setiap pemain mesti menggunakan semua jari tangannya.
  2. Pemain yang kalah mesti menjalankan denda tanpa bantahan. 
  3. Pemilihan ketua diputuskan melalui undian. 
  4. Setiap patah seni kata lagu mesti ditunjukkan kepada satu jari pemain tanpa selang. Jari yang ditunjukkan mestilah mengikut putaran jam. 
  5. Nyanyian diulang setiap kali jari dilipat sehingga semua jari habis dilipat. 
  6. Permainan boleh diulang selepas pemain yang kalah habis menjalankan denda. 
  7. Semua pemain mematuhi peraturan permainan.